Google

PHOTO ALBUM BPC

Friday, February 9, 2007

Kelebihan `universiti kolej' berbanding `universiti'

Utusan 7.01.05

Kelebihan `universiti kolej' berbanding `universiti'

SEBILANGAN pelajar tidak menyukai nama `kolej universiti' berbanding dengan `universiti' seolah-olah kolej universiti itu sama taraf dengan kolej pengajian yang nilainya kurang dari sebuah universiti.

Ada juga yang memasuki `universiti' mengejek rakan-rakannya yang memasuki `kolej universiti' dengan kata-kata: "Ah, kau hanya masuki kolej universiti yang tidak setaraf dengan universiti."

Malangnya, pelajar yang memasuki `kolej universiti' tidak mempunyai hujah untuk menjawab balik, dan dengan itu mengakui kenyataan rakannya tadi benar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh sebaliknya berkata, dari segi taraf universiti dengan kolej universiti tidak ada bezanya kerana kedua-duanya dinaungi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dengan kata lain, kata Dr Shafie, kedua-dua jenis universiti itu adalah universiti penuh yang sepatutnya tidak berbangkit yang mana satu `inferiority' kepada yang satu lagi.

Kini terdapat 11 universiti dan enam kolej universiti di negara kita. Yang membezakan nama itu dari segi saiz atau populasi pelajar. Dalam norma antarabangsa, universiti kolej biasanya bilangan pelajar kurang dari 10,000 pelajar, manakala universiti penuh mempunyai bilangan yang melebihi 10,000.

Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) bilangannya melebihi 20,000 pelajar tetapi bilangan univeriti muda seperti Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) hanyalah kurang 10,000 pelajar.

Bilangan profesor nisbah dengan pelajar di kolej universiti atau universiti hampir sama, malah ada sesetengahnya kolej universiti lebih ramai profesor di nisbah dengan populasi pelajar.

Oleh itu, dari segi kualiti pengajian kolej universiti lebih baik daripada universiti jika bilangan kualiti pensyarah lebih baik iaitu bilangan profesor nisbah populasi pelajar lebih besar.

Kebanyakan pensyarah di kolej universiti adalah pensyarah berpengalaman dari universiti tua yang dipinjamkan atau diserapkan menjadi kakitangan kolej universiti, bukannya pensyarah muda yang baru bergraduat.

Universiti baru selalunya menjadi harapan baru bagi pihak atasan, seperti juga seorang ayah yang akan menjaga lebih teliti seorang bayi berbanding dengan anaknya yang lebih dewasa.

Bagi pentadibir universiti berkenaan, mereka juga ingin menunjukkan kepada masyarakat betapa kolej universiti berkenaan lebih baik daripada universiti tua yang lain.

Orang tua biasanya akan berbangga dengan nostalgia dan mahu mengekalkan status quo, sedangkan anak-anak muda biasanya lebih kreatif untuk mencipta sejarah kejayaan baru.

Selain itu, peluang pekerjaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di kolej universiti mungkin sahaja lebih baik kerana kolej universiti menjalinkan kerjasama yang akrab dengan industri, seperti mana model pengajian tinggi di Jerman.

Beberapa tahun lagi, bukti akan muncul, iaitu sebaik sahaja graduan kolej universiti cepat disambar majikan, pelajar kolej universiti tidak perlu merendah diri, tetapi boleh melihat penganggur sebenarnya datang dari universiti tua. - Putrajaya

No comments:

Support Info